NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

“Saya Tiada Niat Nak Susahkan Sesiapa, Terima Kasih Semua” – Jaslinda

TAPAH – Pendaki wanita yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi di Gunung Batu Putih, Jaslinda Saludin, 49, dibenarkan pulang ke rumah hari ini selepas menerima rawatan selama tiga hari di Hospital Tapah.

Jaslinda meninggalkan hospital kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan ditemani suaminya, Haszman Othman, 61. Pasangan itu dilihat keluar dari Wad Perempuan Hospital Tapah sebelum menaiki sebuah kereta Honda City berwarna gelap.

Sebelum beredar, Jaslinda yang masih menggunakan tongkat dan mempunyai balutan pada kaki kirinya meluahkan rasa syukur atas keselamatan dirinya serta merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kesejahteraannya sepanjang tempoh kehilangan tersebut.

Beliau turut memohon maaf kepada semua pihak, khususnya pasukan mencari dan menyelamat (SAR), atas kesulitan yang timbul sepanjang operasi pencarian dijalankan.

“Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan keselamatan saya. Saya amat menghargainya.

“Mengenai pelbagai kenyataan dan dakwaan yang timbul, saya akan menjelaskannya kemudian. Apa yang diperkatakan ketika ini banyak yang tidak benar dan saya akan mengeluarkan kenyataan saya sendiri pada masa yang sesuai.

“Saya juga ingin memohon maaf kepada semua anggota SAR dan pihak yang terlibat. Saya tidak pernah berniat untuk menyusahkan sesiapa. Terima kasih atas segala usaha dan bantuan yang diberikan,” katanya.

Jaslinda ditemui selamat pada Sabtu lalu selepas hampir dua minggu dilaporkan hilang ketika menyertai pendakian di Gunung Batu Putih.

Beliau ditemukan oleh dua penduduk Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh yang sedang memancing di Sungai Woh pada hari ke-14 kehilangannya.

Penemuan itu berlaku ketika operasi pencarian berskala kecil memasuki hari ketiga, susulan operasi SAR berskala besar yang dijalankan dari 25 Mei hingga 3 Jun lalu.

Selepas berjaya diselamatkan, Jaslinda dibawa ke Hospital Tapah menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tiba di hospital kira-kira jam 9.20 malam untuk menerima rawatan lanjut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *