BN Tanding Solo Di PRN Negeri Sembilan – Zahid
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) mengesahkan akan bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat selepas PH mengumumkan hasrat untuk meletakkan calon di kesemua kerusi yang dipertandingkan.
“Ya, di Negeri Sembilan BN akan bergerak secara solo kerana PH telah mengumumkan akan bertanding di semua 36 kerusi DUN.
“Ini bermakna kita tidak mempunyai pilihan lain selain bertanding secara bersendirian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Invest Malaysia Kuala Lumpur 2026, hari ini.
Pada 4 Jun lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang terlebih dahulu berbuat demikian awal bulan ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, DAP bersama PH akan bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat sebagai tindak balas terhadap tindakan BN Johor yang meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN dalam PRN Johor.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid menegaskan kerjasama antara BN dan Kerajaan Perpaduan akan diteruskan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
“Kita masih bekerjasama rapat sebagai satu pasukan dan saya berpandangan kerjasama ini perlu diteruskan sekurang-kurangnya sehingga penghujung penggal,” katanya.
Beliau turut menolak kemungkinan gagasan Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula.
Menurutnya, MN kini telah didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan BN tidak mempunyai sebarang hasrat untuk mengembalikan kerjasama politik berkenaan.
“Tiada niat untuk menghidupkan semula Muafakat Nasional, sama ada versi 1.0 atau 2.0. Perkara itu telah dimuktamadkan dan dianggap selesai,” katanya.
