RXZ Members 8.0: MBKT Tanggung Kos Pembersihan Hampir RM40,000
KUALA TERENGGANU – Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dianggarkan menanggung kos operasi tambahan hampir RM40,000 bagi kerja pembersihan dan pengurusan sampah sepanjang penganjuran program RXZ Members 8.0.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat berkata, MBKT merekodkan pertambahan kira-kira 130 tan sisa pepejal sepanjang program berkenaan berlangsung.
Kos tambahan itu melibatkan peningkatan jumlah perjalanan lori kutipan sampah, bayaran kerja lebih masa kepada petugas serta operasi di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Ikan.
Menurut Lizan, MBKT telah menyediakan tong sampah di beberapa lokasi strategik selain menjalankan kutipan sisa secara berkala sepanjang program berkenaan.
Bagaimanapun, kehadiran pengunjung dalam jumlah yang besar menyebabkan tong sampah cepat dipenuhi. Pada masa sama, masih terdapat segelintir pengunjung yang membuang sampah merata-rata walaupun kemudahan telah disediakan.
Keadaan itu memberi cabaran kepada operasi pembersihan MBKT dan memerlukan gerak kerja lebih menyeluruh bagi memastikan kebersihan bandar raya dapat dipulihkan serta dikekalkan.
Susulan pengalaman tersebut, MBKT akan bekerjasama dengan pihak penganjur bagi memastikan pengurusan kebersihan dimasukkan sejak peringkat awal perancangan program berskala besar.
Antara langkah yang dicadangkan ialah menambah tong sampah biasa dan tong sementara di kawasan tumpuan, meningkatkan kekerapan kutipan pada waktu siang serta malam dan menempatkan pasukan pembersihan secara berterusan di lokasi strategik.
Kempen kesedaran juga akan dipertingkatkan melalui media sosial, papan tanda, pengumuman di lokasi program dan kerjasama bersama komuniti RXZ.
MBKT turut menggalakkan sukarelawan serta urus setia program memainkan peranan sebagai duta kebersihan, selain meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan membuang sampah.
Dalam jangka panjang, pihak berkuasa tempatan itu sedang mempertimbangkan untuk mewajibkan pelan pengurusan sisa pepejal sebagai salah satu syarat kelulusan bagi penganjuran acara yang dijangka menerima kehadiran ramai.
MBKT juga akan menilai semula kadar deposit kebersihan atau mekanisme jaminan yang bersesuaian supaya kos pembersihan tidak ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan.
Lizan bagaimanapun menghargai kehadiran peserta RXZ Members yang membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat serta mempromosikan Kuala Terengganu di peringkat nasional.
Beliau mengingatkan bahawa kebersihan bandar merupakan tanggungjawab bersama dan setiap peserta perlu menunjukkan contoh yang baik dengan memastikan lokasi yang dikunjungi kekal bersih, selamat dan selesa.
