ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RUU MCMC Pindaan 2026 Diluluskan, Ahli Politik Dilarang Jadi Pengerusi

KUALA LUMPUR – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dengan suara majoriti selepas dibahaskan oleh 11 senator.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata pindaan itu bertujuan memperkukuh peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain meningkatkan keupayaannya sebagai badan kawal selia industri komunikasi negara.

Beliau berkata antara pindaan utama yang dicadangkan ialah melarang ahli politik dilantik sebagai Pengerusi MCMC bagi memastikan kebebasan dan tadbir urus suruhanjaya itu terus diperkasakan.

“Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh.

“Anggota yang bukan wakil kerajaan juga perlu mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang berkaitan seperti yang dinyatakan dalam Fasal 3 rang undang-undang pindaan ini.

“Pindaan ini dibuat bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu.

Terdahulu, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman ketika membahaskan rang undang-undang berkenaan berkata pindaan itu penting memandangkan sektor komunikasi dan multimedia kini bukan sahaja menjadi pemacu ekonomi, malah merupakan infrastruktur strategik negara.

Rang Undang-Undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Julai lepas mengandungi 17 fasal, termasuk pindaan kepada Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) bagi memperjelas fungsi MCMC dalam membangunkan serta mengawal selia piawaian infrastruktur dan platform digital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *