ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RM452,000 Wang Syarikat Lesap, Kerani Diperdaya WhatsApp ‘Bos’

KUALA TERENGGANU – Seorang kerani kewangan sebuah syarikat kerugian RM452,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai majikannya menerusi aplikasi WhatsApp, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 50 tahun itu menyedari dirinya ditipu selepas menerima permintaan untuk melakukan transaksi wang daripada individu yang menggunakan nombor WhatsApp dan menyamar sebagai bosnya.

Beliau berkata mangsa menerima mesej daripada nombor 012-2068323 kira-kira 3.24 petang ketika berada di pejabat syarikat di Jalan Kamaruddin di sini.

“Individu terbabit menggunakan nama panggilan ‘Ken’ dan meminta mangsa menyemak baki akaun syarikat sebelum mengarahkannya membuat beberapa transaksi wang.

“Mangsa kemudian membuat tiga transaksi berjumlah keseluruhan RM452,000 ke dua akaun bank atas nama Prosecution Global Sdn Bhd dan Kedem Hub Trading,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata transaksi pertama berjumlah RM95,000 dibuat pada 3.53 petang ke sebuah akaun Bank Islam, diikuti transaksi RM212,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional pada 4.56 petang.

Beliau berkata transaksi ketiga sebanyak RM145,000 pula dibuat pada 5.24 petang ke akaun Bank Islam yang sama.

“Dalam urusan berkenaan, mangsa turut berhubung dengan seorang individu yang bertanggungjawab meluluskan transaksi terbabit,” katanya.

Azli berkata mangsa sekali lagi menerima mesej WhatsApp daripada individu sama semalam yang meminta supaya transaksi tambahan sebanyak RM235,000 dilakukan.

Bagaimanapun, sebelum transaksi itu dibuat, individu yang bertanggungjawab meluluskan urusan berkenaan telah menghubungi majikan sebenar mangsa bagi mendapatkan pengesahan.

“Majikan mangsa kemudian memaklumkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sebarang transaksi seperti yang diminta,” katanya.

Beliau berkata mangsa kemudiannya menyedari bahawa dirinya telah diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai majikan syarikat itu.

Menurut Azli, wang yang hilang adalah milik syarikat dan mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *