ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCW Bangkitkan Isu Madinah Tak Dipanggil Beri Keterangan Dalam RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) membangkitkan persoalan sama ada keseluruhan bukti berkaitan isu Lembaga Tabung Haji (TH) telah diuji secara adil sebelum Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) membuat kesimpulannya, khususnya apabila bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad tidak dipanggil memberikan keterangan.

Dalam satu kenyataan, MCW berkata laporan RCI menunjukkan Madinah telah mengemukakan Akuan Berkanun Saksi, namun tidak dipanggil untuk memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya berkenaan, sedangkan RCI turut membuat penilaian kritikal terhadap tindakan Ketua Audit Negara ketika itu.

“Jadi persoalan MCW bukanlah siapa yang patut kita percaya secara membuta tuli. Persoalannya, adakah keseluruhan bukti diuji secara adil sebelum kita membentuk kesimpulan?

“Dalam memerangi rasuah, MCW mesti berani mengejar kebenaran walaupun kebenaran itu tidak menyebelahi mana-mana naratif politik.

“Rasuah mesti dibuktikan. Salah urus mesti dipertanggungjawabkan. Audit mesti boleh dipersoalkan. Tetapi slogan tidak boleh menggantikan bukti,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Madinah dilaporkan berkata dapatan RCI berhubung TH mungkin berbeza sekiranya beliau dipanggil memberikan keterangan sebagai bekas Ketua Audit Negara.

Beliau berkata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang disediakan bersama pasukannya ketika itu tidak mengenal pasti bukti berlaku kecurian secara langsung dalam TH sepanjang tempoh yang dirujuk oleh RCI.

Madinah, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, turut menegaskan bahawa beliau akan menjadi individu pertama membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat bukti berlaku kecurian secara langsung dalam agensi berkenaan.

Sementara itu, MCW berkata penjelasan Madinah membuka satu dimensi yang wajar diteliti dalam perbahasan mengenai isu TH.

Menurut badan itu, perbahasan berkenaan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada persoalan siapa yang betul atau salah, sebaliknya perlu membezakan antara fakta audit, pertimbangan profesional, kelemahan tadbir urus dan dakwaan penyelewengan.

MCW berkata Audit Jabatan Audit Negara merekodkan keuntungan TH sekitar RM3.4 bilion bagi tahun 2017, manakala Semakan Kedudukan Kewangan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), selepas mengambil kira pelarasan hampir RM4.8 bilion, menunjukkan kerugian terlaras sekitar RM1.4 bilion.

Namun, menurut MCW, kedua-dua penilaian itu mempunyai mandat, skop dan pendekatan yang berbeza.

“Impairment tidak semestinya bermaksud sakau. Kemerosotan nilai aset ialah persoalan perakaunan. Ia boleh menunjukkan keputusan pelaburan yang buruk, kelemahan pengurusan risiko atau polisi perakaunan yang dipertikaikan.

“Tetapi untuk mengatakan wang disakau, kita memerlukan bukti mengenai siapa yang mengambil wang, bagaimana ia diambil dan ke mana ia pergi,” katanya.

Pada masa sama, MCW berkata hujah berkenaan tidak seharusnya digunakan untuk menafikan dapatan serius yang dibangkitkan RCI, termasuk berkaitan polisi rosot nilai, kedudukan aset dan liabiliti, pembayaran hibah serta keputusan audit Jabatan Audit Negara.

“Semua itu mesti dijawab secara substantif,” menurut kenyataan itu.

Laporan RCI mengenai TH yang diterbitkan pada 29 Julai lalu antara lain menyatakan bahawa institusi berkenaan sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan dalam penyata kewangannya.

Menurut laporan itu, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai sepenuhnya bagi tahun kewangan berkenaan, kedudukan kewangan TH didapati telah berada dalam keadaan kritikal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *