ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

MalaysiaPolitik

Puad Zarkashi umum keluar UMNO

JOHOR BAHRU: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini mengumumkan keluar daripada UMNO selepas mendakwa UMNO Johor tidak lagi bebas dalam membuat keputusan serta hanya menjadi “boneka yang terikat”.

Dalam kenyataannya, Puad mendakwa terdapat pelbagai contoh yang menunjukkan kepimpinan UMNO Johor tidak mempunyai kebebasan sebenar dalam menentukan hala tuju parti dan kerajaan negeri.

Beliau turut mendakwa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hanya menjadi “pak turut” dalam beberapa perkara, sekali gus menyebabkan UMNO Johor kehilangan autonomi sebagai parti yang memimpin kerajaan negeri.

“UMNO Johor boneka yang terikat.

“Banyak lagi contoh-contoh lain. Onn Hafiz hanya pak turut. Itu menjadikan UMNO Johor boneka yang terikat. Saya perlu melakukan ‘keberanian politik’ mendedahkan kemungkaran ini sebelum menjadi parah,” katanya.

Menurut Puad, keputusan yang diambil bukan sesuatu yang mudah kerana beliau sedar tindakannya itu bakal mengundang kritikan dan kecaman pelbagai pihak.

Bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. – Foto fail NSTP

“Saya sedar saya akan dikecam dan dihina. Mungkin juga keselamatan saya terancam. Tetapi berbekalkan ‘keberanian politik’, saya bersedia bertempur dalam apa jua keadaan.

“Saya tidak mahu UMNO dipimpin oleh ‘Pengecut Politik’ sehingga menyebabkan calon BN diketawakan sebagai kitar semula, tiada aspirasi orang muda dan mediocre.

“Saya bertawakal kepada Allah. Kaulah pelindung yang tidak ada tolok bandingnya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Puad telah memberi bayangan bahawa satu pengumuman penting akan dibuat selepas beliau mendakwa terdapat sesuatu yang tidak kena dalam UMNO Johor susulan pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Semalam, beliau yang memutuskan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Rengit pada PRN akan datang berkata, selepas meneliti senarai calon BN, beliau mendapati perkembangan terkini dalam UMNO Johor semakin membimbangkan.

“Perkembangan terkini UMNO Johor merisaukan. Saya tidak akan menoleh belakang walaupun saya hanya insan kerdil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ketika dihubungi media selepas kenyataan itu dimuat naik, Puad enggan memperincikan perkara yang dimaksudkannya. Bagaimanapun, beliau memberi petunjuk bahawa isu utama yang dibangkitkan adalah berkaitan kebebasan UMNO Johor dalam membuat keputusan politik.

“UMNO Johor tidak bebas,” katanya ringkas ketika diminta mengulas lanjut.

Puad merupakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan antara tokoh berpengaruh di Batu Pahat. DUN Rengit yang diwakilinya merupakan satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Batu Pahat bersama DUN Senggarang dan Penggaram, selain beliau pernah memimpin UMNO Bahagian Batu Pahat.

Pengumuman keluar parti oleh Puad dijangka memberi kesan kepada landskap politik Johor menjelang PRN bulan depan, terutama apabila beliau secara terbuka mengkritik kepimpinan UMNO negeri serta mendakwa wujud campur tangan yang menjejaskan kebebasan parti itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *