PRN Melaka: BN Timbang Manfaat, Mudarat Sebelum Putus Kerjasama – Zahid
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan meneliti manfaat dan mudarat kepada semua pihak sebelum membuat keputusan mengenai sebarang bentuk kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata rundingan bagi menentukan formula kerjasama akan mengambil kira keadaan serta kesesuaian politik di Melaka sebelum hasilnya dibawa ke peringkat nasional untuk diperhalusi dan dimuktamadkan.
Ahmad Zahid berkata Ketua Menteri Melaka yang juga Pengerusi BN dan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah diberi mandat untuk mengadakan rundingan berhubung bentuk kerjasama bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
“Pada hemat saya, sebarang perundingan yang akan dilakukan mesti melihat dua aspek iaitu manfaat dan mudarat. Kita harus melihat manfaat yang lebih daripada mudarat.
“Sebarang perundingan yang akan dilakukan dengan mana-mana pihak atau mana-mana gabungan, ia mesti melihat aspek-aspek itu,” katanya selepas merasmikan majlis penutup Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Super Bike Club sempena Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata sebarang kerjasama politik juga perlu berasaskan kejujuran dan keikhlasan, selain kesediaan semua pihak untuk mematuhi setiap janji yang telah dipersetujui.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan rundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi PRN Melaka.
Pada masa sama, terdapat juga kemungkinan kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN), susulan persefahaman yang dijalin kedua-dua gabungan pada PRN Negeri Sembilan awal bulan ini.
BN Melaka turut mempertimbangkan pilihan untuk bertanding secara solo bagi mempertahankan 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRN Melaka 2021.
Mengulas hubungan BN dan PH selepas kemenangan kedua-dua gabungan itu di Johor dan Negeri Sembilan, Ahmad Zahid berkata kerjasama mereka di peringkat nasional kekal baik.
Katanya, kerjasama itu bukan sahaja berlangsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri, malah turut melibatkan penyelarasan antara kementerian menerusi pendekatan keseluruhan kerajaan.
“Ini dilakukan untuk menyelesaikan masalah demi kepentingan negara dan kestabilan politik,” katanya.
