Pengkritik Bola Sepak Patah Tulang Mata Diserang 2 Lelaki Tidak Dikenali
PETALING JAYA – Seorang YouTuber yang juga pengulas bola sepak cedera parah selepas dipercayai dipukul dua lelaki tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.56 malam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia lingkungan 40-an sedang mengisi angin tayar kenderaannya sebelum didatangi dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal Yamaha LC dengan nombor pendaftaran yang tidak sempat dikenal pasti.
“Suspek kemudian bertindak memukul mangsa beberapa kali sebelum merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit dan melarikan diri dari lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Akibat serangan tersebut, mangsa mengalami patah tulang pada bahagian soket mata selain beberapa kecederaan lain dan kini menerima rawatan.
Shamsudin berkata, motif kejadian masih dalam siasatan, manakala usaha mengesan kedua-dua suspek sedang dipergiatkan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan rakaman serta kenyataan berkaitan insiden itu yang boleh menjejaskan siasatan polis.
