ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Zizie Izette Bebas 3 Pertuduhan Bersubahat Kes Rasuah RM2.8 Juta

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen hari ini melepaskan dan membebaskan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta yang dikaitkan dengan pelaburan RM150 juta Felcra Berhad dalam unit amanah Public Mutual Berhad.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan berdasarkan keterangan, hujahan kedua-dua pihak serta autoriti yang dikemukakan.

Beliau memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah sebagaimana diperuntukkan di bawah Perenggan 173(m)(i) Kanun Tatacara Jenayah.

“Mahkamah mendapati tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah. Pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh bagi ketiga-tiga pertuduhan di bawah Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya ketika membacakan penghakiman.

Mahkamah turut membatalkan jaminan yang dikenakan, mengarahkan wang jaminan dipulangkan kepada penjamin serta memulangkan pasport milik tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How dan Mohd Fadhly Mohd Zamry, manakala Zizie Izette diwakili peguam K. Kumaraendran, M. Athimulan dan Ridha Abdah Subri.

Mohd Fadhly berkata, pihak pendakwaan masih belum membuat keputusan sama ada akan mengemukakan rayuan dan akan menunggu arahan lanjut daripada Peguam Negara.

Zizie Izette, 48, sebelum ini didakwa bersubahat dengan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad, bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta berkaitan kelulusan pelaburan RM150 juta Felcra dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa bersubahat memperoleh wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, sebagai balasan membantu mendapatkan kelulusan pelaburan tersebut.

Dua lagi pertuduhan membabitkan penerimaan RM262,500 melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) dan RM337,500 melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ), yang masing-masing didakwa diterima daripada Madhi Abdul Hamid dan seorang lagi ejen pelaburan, Norhaili Ahmad Mokhtar.

Kes itu melalui beberapa proses perundangan sebelum ini, termasuk keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang membebaskan pasangan berkenaan, namun keputusan itu dibatalkan Mahkamah Rayuan pada November 2024 yang mengarahkan kedua-duanya membela diri.

Pada Januari lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan Bung Moktar daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan susulan kematiannya pada 5 Disember 2025.

Zizie Izette kemudian meneruskan prosiding pembelaan sehingga mahkamah hari ini memutuskan beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada ketiga-tiga pertuduhan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *