“Penduduk Tempatan Nak Main Mana?” – Video Sekumpulan Warga Rohingya Tular
SELAYANG – Rakaman sekumpulan individu dipercayai warga Rohingya berkumpul di sebuah taman awam di Taman Wilayah, di sini, tular di media sosial selepas dikongsikan seorang pempengaruh yang dikenali sebagai Awie MBR atau Abang Koroy.
Video yang dimuat naik menerusi aplikasi Threads itu memaparkan lebih 30 individu berada di kawasan taman berkenaan pada satu-satu masa.
Sebahagian daripada mereka dilihat bermain bola, manakala beberapa keluarga turut berada di kawasan itu dengan ada yang berkelah serta membiarkan anak-anak bermain di gelongsor dan kemudahan permainan disediakan.
Perkongsian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial, khususnya berhubung penggunaan kemudahan awam apabila jumlah individu yang berkumpul di taman terbabit dilihat ramai.
“Kalau dah satu kampung, penduduk tempatan nak main mana?” demikian antara persoalan yang dibangkitkan menerusi hantaran itu.
Seorang pengguna Threads menggunakan akaun @abewee1 pula berpendapat keadaan itu menyebabkan penduduk tempatan dan kanak-kanak sukar menggunakan kemudahan awam berkenaan.
Seorang lagi pengguna, @wanfa__, turut meluahkan rasa kesal terhadap keadaan di taman itu yang menurutnya sebelum ini menjadi tempat permainan penduduk tempatan.
Hantaran berkenaan menerima ribuan tanda suka selain dikongsi semula dan mengundang pelbagai komen daripada pengguna media sosial.
Awie turut mendakwa kemudahan awam di kawasan itu semakin dikuasai oleh kumpulan warga asing.
Bagaimanapun, rakaman berkenaan hanya memaparkan keadaan di taman awam tersebut dan tidak memberikan maklumat lanjut mengenai status atau tujuan kehadiran individu terbabit di lokasi berkenaan.
