Pemergian Tun Hasmah, Muqharabbin titip doa buat Tun Mahathir
SHAH ALAM – Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bukan sahaja meninggalkan kesan kepada keluarga, malah mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak yang mengenali dan menghargai sumbangan Allahyarhamah.
Antaranya, bekas pendaki Gunung Everest termuda dari Asia Tenggara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin yang menitipkan doa buat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga.

Menerusi hantaran di media sosial, Muqharabbin mendoakan agar Tun Dr Mahathir terus diberikan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi kehilangan insan yang begitu dekat dalam kehidupannya.
“Al-Fatihah. Semoga Tun Dr Mahathir Mohamad @chedetofficial, negarawan ulung dunia, terus diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi pemergian insan tercinta, Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohamad Ali,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarhamah, mengampuni segala dosa serta menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah buat Tun dan seluruh keluarga,” katanya.
Pemergian Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun hari ini menutup sebuah perjalanan hidup yang panjang, termasuk lebih tujuh dekad bersama Tun Dr Mahathir selepas mereka mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956. Pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.
Allahyarhamah bukan hanya dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, malah mempunyai latar belakang sebagai doktor dan antara wanita Melayu terawal dalam bidang perubatan.
Sepanjang hayatnya, beliau turut aktif dalam bidang kesihatan awam, kebajikan dan pelbagai kegiatan kemasyarakatan.
Buat keluarga yang ditinggalkan, terutama Tun Dr Mahathir, pemergian itu tentunya membawa satu kehilangan yang besar selepas begitu lama menjalani kehidupan bersama.
Dalam keadaan itu, doa dan ucapan takziah daripada orang ramai menjadi antara bentuk sokongan buat keluarga Allahyarhamah yang sedang melalui saat sukar.
Muqharabbin turut mengambil kesempatan tersebut untuk menyampaikan salam takziah kepada Tun Dr Mahathir dan seluruh keluarga.
Al-Fatihah buat Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
