ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Isu RakyatMalaysiaTerkini

Pemasangan Jalur Gemilang tanpa bulan, bintang tidak disengajakan – MB

KUALA TERENGGANU: Pemasangan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang di Dataran Batu Buruk, di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini berlaku akibat bahagian berkenaan tercabut daripada jahitan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kejadian itu adalah kes terpencil dan tidak berlaku dengan sengaja.

Beliau berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Saya rasa itu bukan kes yang disengajakan, kes yang terpencil dan tidak disengajakan.

“Justeru, kita akan lakukan siasatan dan memastikan perkara itu tidak berulang lagi, walaupun siapa juga yang memasangnya termasuk orang awam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Hari Renjer Sedunia 2026 peringkat negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Lizan Che Mat, menjelaskan bahawa Jalur Gemilang berkenaan sebenarnya mempunyai lambang bulan dan bintang sebelum bahagian tersebut tercabut akibat jahitan yang rosak.

Menurutnya, MBKT mengambil tindakan segera dengan menurunkan bendera terbabit pada Jumaat lalu dan menggantikannya dengan Jalur Gemilang yang baharu.

“Bendera yang lama bukan tidak ada bulan dan bintang, cuma kita jahit dan bahagian sebelah itu tercabut akibat ribut kuat pada hari berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, MBKT selepas ini tidak lagi menggunakan kaedah jahitan berkenaan, sebaliknya akan mendapatkan bendera yang sudah siap sepenuhnya bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Lizan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan memastikan setiap Jalur Gemilang yang dipasang berada dalam keadaan baik serta memenuhi spesifikasi ditetapkan.

Sebelum ini, sebuah video yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan dan bintang dipasang di kawasan Batu Buruk tular di media sosial.

Kejadian berkenaan mencetuskan perhatian orang ramai serta perdebatan dalam kalangan warganet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *