Home / Malaysia / Pemandu E-Hailing Perlukan Aplikasi Navigasi Mesra Pengguna – NUEW

Pemandu E-Hailing Perlukan Aplikasi Navigasi Mesra Pengguna – NUEW

KUALA LUMPUR – Pemandu e-hailing memerlukan aplikasi navigasi yang mudah digunakan dan mempunyai standard yang baik bagi memastikan kelancaran operasi serta keselamatan ketika memandu.

Timbalan Presiden Kesatuan Pemandu E-Hailing Nasional (NUEW), Muhammad Zakwan Shahruddin berkata, pemandu e-hailing sangat bergantung pada aplikasi navigasi untuk menjalankan tugas harian, dengan purata dua hingga tiga permintaan membawa penumpang diterima dalam tempoh sejam.

Menurut beliau, aplikasi yang sukar digunakan, termasuk sistem navigasi atau pemesejan yang tidak ringkas, boleh mengganggu tumpuan pemandu ketika berada di jalan raya.

Beliau mengulas perkara itu susulan saranan kerajaan mengenai penggunaan aplikasi navigasi tempatan, TuJu. Katanya, peralihan kepada aplikasi baharu bukanlah masalah besar, namun pemandu mungkin memerlukan masa untuk menyesuaikan diri.

Muhammad Zakwan turut mengingatkan bahawa isu penggunaan telefon ketika memandu perlu diberi perhatian, susulan terdapat kes pemandu e-hailing ditahan polis kerana didakwa menggunakan telefon semasa memandu.

Bagaimanapun, beliau berkata pemandu masih mempunyai pilihan aplikasi lain seperti Google Maps dan Grab Maps untuk meneruskan perkhidmatan.

Beliau menegaskan bahawa aplikasi navigasi dan pemesejan perlu direka supaya ringkas serta mesra pengguna agar tidak menjejaskan fokus pemandu dan keselamatan pengguna jalan raya.

Sumber : Astro Awani

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *