SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan, Chan Huann Heng, 58, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Selasa atas pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 66 tahun melibatkan RM1.65 juta bagi urusan pembelian dusun durian di Raub, Pahang.
Tertuduh yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat pengimport dan pengeksport sayur-sayuran didakwa memperdaya mangsa supaya menyerahkan invois syarikat bernilai RM1.65 juta melalui pindahan akaun bagi tujuan pembelian dusun berkenaan.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah kelab di Jalan Kelab Tropicana, dalam daerah Petaling, pada 5 Februari 2024. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin. Bagaimanapun, peguam tertuduh memohon jumlah itu dikurangkan dengan alasan perniagaan anak guamnya terjejas susulan kes tersebut serta tertuduh memberikan kerjasama sepanjang siasatan.
Hakim Dazuki Ali kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin warga tempatan. Mahkamah menetapkan 30 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber : Bernama









