Malaysia Teroka Peluang Perniagaan UAE Dalam Logistik Halal, Pekerjaan – Anwar
KERALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan pemimpin perniagaan daripada Majlis Perniagaan Emiriah Arab Bersatu (UAE)-India, Cawangan UAE (UIBC-UC) bagi meneroka peluang kerjasama dalam bidang pelaburan, logistik, pekerjaan dan sektor perniagaan lain.
Antara yang ditemui beliau ialah Naib Pengerusi Sharaf Group, Mejar Jeneral Sharafuddin Sharaf dan Pengasas Bersama serta Naib Pengerusi Eksekutif EFS Facilities Services Group, Tariq Chauhan di Calicut, sempena lawatan kerja beliau ke sini hari ini.
Anwar berkata perbincangan dengan Sharafuddin antara lain menyentuh minat Sharaf Group untuk memanfaatkan Malaysia sebagai hab pengedaran serantau bagi daging halal ke pasaran antarabangsa, berikutan keupayaan kumpulan itu dalam bidang kargo dan logistik.
Beliau berkata Chauhan pula berkongsi rancangan EFS Facilities Services Group berkaitan pengambilan pekerja, selain peluang untuk rakyat Malaysia mendapatkan pekerjaan dalam sektor pengurusan fasiliti.
“Pertemuan ini memberi peluang untuk meneroka bidang baharu dalam pelaburan, logistik, pekerjaan dan kerjasama perniagaan, di samping memperkukuh hubungan Malaysia dengan syarikat terkemuka berpangkalan di UAE serta komuniti perniagaan UAE-India secara lebih luas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata Malaysia mengalu-alukan penglibatan lebih erat syarikat dari UAE dan India serta akan terus memudah cara kerjasama yang mampu mewujudkan peluang ekonomi nyata kepada rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan.
Beliau turut mengetengahkan potensi kerjasama dengan BEEAH Group yang berkembang daripada perniagaan berasaskan alam sekitar kepada organisasi pelbagai sektor meliputi alam sekitar, tenaga, teknologi, penjagaan kesihatan dan hartanah.
Menurutnya, kumpulan yang mengendalikan kemudahan kitar semula dan pemulihan bahan terkini di Sharjah, UAE itu berhasrat membangunkan kemudahan penukaran sisa kepada tenaga yang mampan di Malaysia.
UIBC-UC yang ditubuhkan pada 2023 di bawah Persekutuan Dewan Perniagaan dan Industri UAE berperanan sebagai platform bagi menggalakkan perdagangan, pelaburan dan hubungan perniagaan antara UAE dan India.
Ahli UIBC-UC antaranya aktif dalam sektor logistik, infrastruktur, peruncitan, penjagaan kesihatan, teknologi, tenaga bersih dan pembuatan termaju.
