Anwar Gesa Malaysia-India Perkukuh Sinergi Dalam Semikonduktor, E&E
KERALAM – Malaysia dan India perlu memperkukuh sinergi dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor bagi meningkatkan keupayaan masing-masing dan memanfaatkan kekuatan kedua-dua negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata Malaysia kini meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam sektor E&E dan semikonduktor di Asia Tenggara, manakala India turut mempunyai kekuatan besar dalam bidang berkenaan.
“Malaysia ialah sebuah ekonomi sedang pesat membangun dan kini semakin memberikan tumpuan kepada sektor E&E dan semikonduktor di Asia Tenggara, manakala dari segi ekonomi tenaga, kita mungkin antara yang terbesar ketika ini, termasuk dalam eksport ke Amerika Syarikat.
“Dengan kekuatan India dalam E&E dan semikonduktor, bayangkan sekiranya sinergi itu diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan kita dan memastikan kita saling mendapat manfaat. Saya fikir perkara ini penting,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada sesi minum petang bersama Gabenor Kerala, Menteri Industri dan Perdagangan serta pemimpin perniagaan terkemuka India di Calicut, di sini, hari ini.
Kira-kira 30 syarikat dari India, Malaysia dan negara-negara Teluk menyertai sesi berkenaan, mewakili pelbagai sektor termasuk perubatan dan penjagaan kesihatan, semikonduktor, pembinaan, kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, teknologi maklumat, kejuruteraan, peruncitan, tenaga boleh baharu dan pengangkutan.
Perdana Menteri berkata sesi berkenaan menyediakan platform untuk memperkukuh hubungan perniagaan-ke-perniagaan (B2B), selain meneroka kerjasama lebih luas dalam sektor bernilai tinggi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata India merupakan ekonomi sedang pesat membangun yang penting dan Malaysia perlu terus mempelbagaikan hubungan perdagangan serta pelaburan, di samping mengekalkan hubungan kukuh dengan rakan ekonomi utama sedia ada.
Beliau berkata India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.
Anwar turut menekankan hubungan sejarah antara Keralam dan Asia Tenggara, khususnya menerusi Pantai Malabar yang disifatkannya sebagai bahagian penting dalam sejarah budaya, agama dan intelektual rantau berkenaan.
Katanya, hubungan sejarah Keralam dengan Asia Tenggara perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan Keralam, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan.
“Malaysia perlu menggalakkan peningkatan pelaburan dua hala, termasuk aliran modal dari Malaysia ke Keralam serta dari Keralam dan negeri-negeri jiran di India ke Malaysia,” katanya.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan; Kuasa Usaha merangkap Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Sharifah Ezneeda Wafa dan Konsul Jeneral Malaysia ke India Selatan, K Saravana Kumar.
Anwar kemudian berlepas dari Keralam untuk lawatan rasmi ke Maldives selepas mengakhiri lawatan kerja lima hari beliau ke India.
