ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Malaysia Dijangka Ambil 200,000 Pekerja Bangladesh Dalam Masa 6 Bulan

SHAH ALAM – Malaysia dijangka mengambil kira-kira 200,000 pekerja Bangladesh dalam tempoh enam bulan, dengan proses pengambilan dijangka bermula pada penghujung bulan ini.

Memetik laporan The Daily Star, Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Mir Shahe Alam berkata pengambilan pekerja berkenaan akan dilaksanakan menerusi pelbagai agensi di negara itu.

Beliau berkata daripada jumlah tersebut, kira-kira 10,000 pekerja akan diambil tanpa dikenakan sebarang kos.

“Di Malaysia terdapat kira-kira 800,000 pekerja Bangladesh yang berdaftar. Ada juga yang tidak berdaftar.

“Menteri kami telah meminta pihak berkuasa Malaysia untuk mendaftarkan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Shuhada Othman mengadakan pertemuan dengan Menteri Kerajaan Tempatan, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi Bangladesh, Abdul Moyeen Khan.

Menurutnya, pertemuan itu turut membincangkan cadangan lawatan Perdana Menteri Bangladesh, Tarique Rahman ke Malaysia dalam usaha memperkukuh hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, perkembangan berhubung pengambilan pekerja Bangladesh itu masih menunggu pengesahan rasmi daripada Kementerian Sumber Manusia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *