KUALA LUMPUR – Pemain badminton profesional negara, Lee Zii Jia, mencapai penyelesaian dengan ahli keluarganya berhubung isu kewangan dan pengurusan syarikat LZJ Management Sdn Bhd selepas pertikaian itu dibawa ke mahkamah.
Penyelesaian tersebut dicapai menerusi proses mediasi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 20 Oktober 2026. Pertikaian berkenaan melibatkan pengurusan syarikat yang mengendalikan kerjaya profesional serta urusan komersial pemain perseorangan itu.
Sebagai sebahagian daripada persetujuan, LZJ Management perlu mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 31 Oktober ini bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan syarikat.
Sementara menunggu mesyuarat itu diadakan dan diselesaikan, bapa Zii Jia, Lee Chee Hin, serta kakaknya, Lee Zii Yii, tidak dibenarkan meluluskan atau membayar manfaat kewangan tambahan kepada diri sendiri, termasuk fi pengarah, elaun, bonus dan ganjaran lain. Pengecualian diberikan kepada gaji bulanan yang dikira mulai 1 September.
Mereka juga tertakluk kepada sekatan berhubung keputusan korporat tertentu tanpa kebenaran awal mahkamah. Kedua-dua pihak tidak perlu membayar kos guaman antara satu sama lain, manakala kos mengadakan mesyuarat agung luar biasa akan ditanggung oleh syarikat.









