Kuala Lumpur, Putrajaya Antara 11 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat
KUALA LUMPUR – Kualiti udara di Serian, Sarawak terus berada pada tahap tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 194 setakat 8.47 pagi ini, meningkat berbanding 190 yang direkodkan semalam.
Berdasarkan maklumat Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), lapan lagi stesen pemantauan di Sarawak turut merekodkan bacaan IPU dalam kategori tidak sihat.
Kawasan berkenaan ialah Kuching dengan bacaan 172, Samarahan (170), Sarikei (161), Bintulu (157), Sri Aman (157), Samalaju (152), Sibu (151) dan Miri (133).
Selain itu, Putrajaya dan Kuala Lumpur turut merekodkan bacaan dalam kategori tidak sihat masing-masing pada 104 dan 101.
Sementara itu, sebanyak 52 kawasan, kebanyakannya di Semenanjung Malaysia, merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana susulan keadaan jerebu rentas sempadan.
Bacaan IPU antara sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Data IPU dikeluarkan setiap jam berdasarkan pemantauan daripada 68 stesen pengawasan kualiti udara di seluruh negara.
Media sebelum ini melaporkan kebakaran hutan berskala besar berlaku di beberapa wilayah di Kalimantan, Indonesia, sehingga mengakibatkan jerebu teruk khususnya di Kalimantan Barat.
Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia dilaporkan terjejas akibat kebakaran setakat Isnin lalu, dengan kerajaan negara itu meningkatkan usaha menangani kebakaran bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan daripada menjejaskan negara jiran.
