Kerjasama NADI, PKD Utamakan Sinergi, Penyampaian Perkhidmatan Kepada Rakyat
CYBERJAYA – Kerjasama strategik antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan Pusat Komuniti Desa (PKD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencerminkan pendekatan kerajaan yang mengutamakan sinergi, pengoptimuman sumber serta penyampaian perkhidmatan yang memberi manfaat kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata NADI kini bukan lagi sekadar menyediakan kemudahan komputer dan capaian Internet, sebaliknya berkembang sebagai pusat maklumat serta pemerkasaan komuniti yang menghubungkan rakyat dengan kemahiran, peluang dan perkhidmatan kerajaan.
Beliau berkata terdapat 191 PKD di bawah KKDW yang dilengkapi kemudahan, sumber serta jaringan dengan masyarakat setempat, sekali gus membuka ruang untuk kedua-dua pusat berkenaan saling melengkapi.
“Terdapat 191 PKD di bawah KKDW, lengkap dengan kemudahan, sumber dan jaringan bersama masyarakat. Berasaskan kekuatan yang dimiliki oleh PKD dan NADI, saya percaya terdapat ruang yang besar untuk kedua-duanya saling melengkapi dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Inilah semangat whole-of-government yang perlu kita terjemahkan. Bukan siapa yang memiliki sesuatu kemudahan, sebaliknya cara kemudahan dan sumber kerajaan yang tersedia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat,” katanya ketika berucap pada Sesi Bengkel Kerjasama Strategik PKD dan NADI di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi berkata pendekatan berkenaan turut selari dengan usaha kerajaan memperkasakan masyarakat tanpa tunai melalui penggunaan dompet digital, selain memperluas penguasaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata NADI boleh menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai anak muda yang mempunyai kemahiran berkaitan AI, termasuk keupayaan membangunkan aplikasi yang memberi manfaat kepada komuniti dan ekonomi setempat.
“…harapan kami satu NADI sekurang-kurangnya melahirkan seorang prompt engineer. Sekiranya kita memupuk masa depan anak-anak muda untuk memanfaatkan awan dan AI, maka mereka boleh mencipta aplikasi untuk membantu termasuk komuniti dan ekonomi setempat,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau telah mengarahkan MCMC supaya mengambil tindakan tegas terhadap penyalahgunaan platform e-dagang atau pasaran dalam talian bagi tujuan penjualan dadah, termasuk dadah sintetik seperti fentanyl.
Beliau berkata arahan itu susulan kebimbangan yang turut disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung gejala berkenaan.
“Saya telah mengarahkan pihak MCMC (supaya bertindak tegas) dan selepas ini mereka ada satu pertemuan dengan satu daripada platform yang kita lihat terbabit dalam penyalahgunaan rangkaian yang membolehkan dadah seperti fentanyl ataupun yang disebut sebagai ‘piu-piu’ dijual di Malaysia,” katanya.
Fahmi berkata usaha kerajaan menyediakan akses Internet yang baik serta melengkapkan kemudahan PKD dan NADI bertujuan merapatkan jurang digital antara kawasan luar bandar, pinggir bandar dan bandar.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan akses digital perlu disertai aspek keselamatan dan literasi digital bagi memastikan kemudahan berkenaan tidak disalahgunakan.
“Tapi sekiranya rangkaian komunikasi ini tidak selamat dan pengguna juga kurang arif, kurang fasih untuk menjaga keselamatan diri, bukan hanya jualan dadah yang boleh pergi ke merata tempat malah pelbagai masalah lain juga sudah pasti akan muncul termasuk masalah scam,” katanya.
