KDN: Penghantaran Pulang Warga Myanmar Dibuat Sukarela, Melalui Saringan Ketat
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan penghantaran pulang warga Myanmar ke negara asal dilaksanakan selepas melalui proses saringan dan pengesahan yang ketat, selain dibuat secara sukarela, selamat serta bermaruah.
Menurut KDN, setiap individu yang terlibat dalam fasa pertama Program Penghantaran Pulang pada 29 September lalu telah melalui beberapa proses termasuk pengesahan kewarganegaraan, dokumentasi, pemeriksaan kesihatan dan semakan identiti.
Senarai individu berkenaan turut disahkan oleh kerajaan Myanmar sebelum dikemukakan kepada Malaysia menerusi Nota Diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.
Selepas proses pengesahan selesai, penyelarasan dilakukan antara kedua-dua negara melibatkan aspek keselamatan, logistik serta urusan penerimaan mereka apabila tiba di Myanmar.
Bagi fasa pertama, proses akhir dilaksanakan di Stadium Daerah Manjung sebelum mereka dibawa ke Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut untuk dihantar pulang.
Seramai 1,476 warga Myanmar terlibat dalam operasi tersebut, terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan yang berusia antara lapan hingga 60 tahun.
Mereka dihantar pulang menggunakan tiga kapal milik Tentera Laut Myanmar, termasuk sebuah kapal hospital.
KDN menjelaskan program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu migrasi tidak teratur dan pendatang tanpa izin secara lebih tersusun.
Langkah itu juga bertujuan mengurangkan tempoh penahanan yang terlalu lama serta tekanan terhadap kapasiti dan kos operasi Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Setakat 31 Ogos 2026, seramai 11,804 warga Myanmar ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen dan Baitul Mahabbah di seluruh negara.
Kerajaan Myanmar sebelum ini bersetuju menerima kepulangan seramai 5,000 warganya sepanjang 2026 menerusi program yang dilaksanakan secara berperingkat.
Selepas penghantaran kumpulan pertama seramai 1,476 orang, sebanyak 3,524 lagi warga Myanmar telah dipersetujui untuk dihantar pulang dalam fasa kedua. Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun masih menunggu makluman dan penyelarasan dengan pihak Myanmar.
KDN bertindak sebagai penyelaras utama program, manakala Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menjadi agensi operasi dengan kerjasama Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, TLDM serta agensi keselamatan lain.
Sumber : RTM
