ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jualan Ihsan Rahmah 9.9 Secara Online Sempena Hari Malaysia – Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan melaksanakan Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian pada 9 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia 2026 bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu merupakan sebahagian usaha kerajaan memperluas capaian program Jualan Rahmah menerusi platform digital, selaras dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan dalam talian.

Beliau berkata pelaksanaan secara maya itu turut mengambil inspirasi daripada kejayaan pelbagai platform e-dagang tempatan dalam membantu usahawan kecil serta memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan.

“Mengambil semangat kemerdekaan, Hari Malaysia dan inisiatif yang dilaksanakan dalam sektor e-dagang, saya mahu kita selaraskan dengan penganjuran Jualan Ihsan Rahmah 9.9 secara dalam talian,” katanya ketika berucap merasmikan Teknolog Summit Malaysia 2026 di sini, semalam.

Menurut Anwar, program itu akan dilaksanakan secara besar-besaran dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan platform digital bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau mahu promosi dan hebahan mengenai program berkenaan dipertingkatkan bagi menggalakkan lebih ramai pengguna serta usahawan tempatan mengambil bahagian.

Program Jualan Rahmah yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menawarkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

Anwar berkata pelaksanaan edisi dalam talian itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memanfaatkan teknologi digital dalam memperluas akses rakyat kepada inisiatif yang membantu menangani kos sara hidup.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *