ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jerebu Belum Pulih, Kualiti Udara Di 32 Kawasan Terus Merosot

KUALA LUMPUR – Keadaan jerebu di beberapa kawasan di seluruh negara terus merosot apabila 32 stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 7.40 pagi ini, berbanding 28 stesen pada 9 malam tadi.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 181, diikuti Johan Setia, Selangor dengan 174 dan Sri Aman, Sarawak (166).

Beberapa kawasan lain turut merekodkan bacaan IPU tidak sihat, antaranya Kuching (165), Shah Alam (161), Samarahan (159), Putrajaya, Kuala Selangor dan Nilai masing-masing 156.

Seri Manjung dan Bukit Rambai pula mencatatkan bacaan 155, diikuti Minden di Pulau Pinang, Tanjung Malim di Perak serta Batu Muda di Kuala Lumpur yang masing-masing merekodkan bacaan 154.

Tasek Ipoh dan Seremban masing-masing mencatatkan IPU 153, manakala Sungai Petani dan Balik Pulau merekodkan bacaan 152.

Banting, Segamat, Batu Pahat, Sarikei dan Tangkak turut mencatatkan bacaan 152, manakala Taiping dan Klang masing-masing merekodkan bacaan 151.

Selain itu, tujuh lagi stesen pemantauan mencatatkan bacaan tidak sihat di bawah paras 150, iaitu Seberang Perai di Pulau Pinang, Petaling Jaya di Selangor, Alor Gajah di Melaka, Kota Tinggi dan Kluang di Johor, Pegoh di Ipoh, Perak serta Mukah, Sarawak.

Sementara itu, sebanyak 35 stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana, manakala tiada kawasan mencatatkan bacaan sangat tidak sihat atau berbahaya.

Satu stesen pemantauan di Cheras, Kuala Lumpur pula tidak merekodkan sebarang data bacaan setakat waktu berkenaan.

Mengikut klasifikasi APIMS, bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala bacaan melebihi 300 adalah berbahaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *