Gencatan Senjata Retak? Israel Bedil 120 Sasaran Hizbullah, Korban Terus Meningkat di Lubnan
Serangan besar-besaran terus dilancar walaupun perjanjian damai masih berkuat kuasa sejak 17 April.
Ketegangan di Asia Barat kembali memuncak apabila Israel melancarkan serangan meluas di selatan Lubnan sejak Sabtu, menyasarkan puluhan lokasi yang didakwa sebagai kubu Hizbullah.
Tentera Israel dalam kenyataannya memaklumkan kira-kira 70 struktur ketenteraan dan 50 tapak infrastruktur Hizbullah telah dimusnahkan dalam siri serangan tersebut.
Walaupun gencatan senjata yang dimeterai pada 17 April masih berkuat kuasa, kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian itu. Hizbullah mendakwa serangan balas yang dilancarkan adalah sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel.
Agensi Berita Nasional Lubnan (NNA) melaporkan beberapa korban jiwa termasuk tiga individu yang terbunuh di bandar Sammaiyeh, daerah Tyre, susulan serangan berkenaan.
Dalam perkembangan sama, tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan kepada penduduk di sembilan kampung tambahan, selepas kira-kira 20 kampung diarahkan berpindah lebih awal.
Situasi semakin genting apabila Israel menegaskan bahawa mereka berhak bertindak terhadap sebarang ancaman yang dianggap sedang dirancang atau hampir berlaku, berdasarkan terma dalam perjanjian gencatan senjata.
Sementara itu, Panglima Tentera Lubnan, Rodolphe Haykal, telah mengadakan pertemuan dengan wakil Amerika Syarikat bagi membincangkan keadaan keselamatan semasa dan usaha memperkukuh pemantauan gencatan senjata.
Sejak konflik tercetus pada awal Mac, lebih 2,600 nyawa dilaporkan terkorban manakala lebih sejuta penduduk hilang tempat tinggal, menjadikan krisis ini antara yang paling meruncing di rantau tersebut.
