Jabatan Penjara Malaysia nafi dakwaan dadah mudah diperoleh dalam penjara
KOTA BHARU: Jabatan Penjara Malaysia menafikan dakwaan bahawa banduan boleh mendapatkan bekalan dadah dengan mudah ketika menjalani hukuman di penjara.
Pengarah Kanan Bahagian Dasar Kepenjaraan, Komisioner Penjara Mohamad Rosidek Musa berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) serta peraturan ketat bagi mengawal kemasukan dan peredaran bahan terlarang dalam institusi penjara.
Menurut beliau, walaupun pihaknya mengakui kemungkinan berlaku insiden tertentu, keadaan tersebut tidak berlaku seperti yang didakwa.
Dakwaan berkenaan sebelum ini dibuat oleh penyanyi dan komposer lagu, Muhammad Yasin Sulaiman yang mendakwa dadah masih boleh memasuki penjara meskipun pemeriksaan keselamatan dikenakan terhadap banduan baharu.
Yasin turut mendakwa beliau menjalani pemeriksaan berulang ketika tiba di Penjara Sungai Buloh, termasuk diarahkan menanggalkan pakaian, namun mendakwa langkah berkenaan masih tidak menghalang peredaran dadah dalam penjara.
Mengulas perkara itu, Mohamad Rosidek berkata Jabatan Penjara bukan sahaja memberi tumpuan kepada kawalan keselamatan, malah turut melaksanakan program pemulihan bagi menangani salah laku serta perkara negatif dalam kalangan penghuni.
Beliau berkata sebarang pelanggaran peraturan yang dikesan akan diambil tindakan sewajarnya.
Pada masa sama, SOP berkaitan keselamatan dan pengurusan penjara akan dikaji serta ditambah baik secara berperingkat bagi memastikan kawalan terus diperkukuhkan.
Sumber: Astro AWANI / Sinar Harian
