ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

IBS Percepat Pembinaan Semula Surau Kampung Tebat Kering

KUALA PILAH – Penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dalam pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi mempercepat tempoh pembinaan, sekali gus menyediakan kemudahan lebih selesa dan selamat kepada penduduk setempat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata surau asal yang uzur dirobohkan dan digantikan dengan bangunan baharu yang lebih kukuh, termasuk perancangan pendawaian elektrik yang selamat serta mematuhi piawaian keselamatan.

“IBS membolehkan struktur siap dalam tempoh singkat, sekali gus mempercepat penyerahan fasiliti ini untuk kegunaan harian penduduk setempat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi 2025 di Surau Kampung Tebat Kering, di sini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Pilah, Nawal Mohamed Amin; Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Mohd Shukri Ishak serta barisan pengurusan tertinggi agensi kementerian.

Fahmi berkata kementerian turut melaksanakan projek menaik taraf Balai Raya Kampung Bukit Temensu dan Kampung Tebat Kering dengan peruntukan hampir RM1 juta bagi menyediakan kemudahan lebih selesa untuk mengeratkan ukhuwah dan silaturahim serta melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Projek pembinaan semula Surau Kampung Tebat Kering bermula dengan penyerahan tapak pada 27 November 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 September lepas, manakala kerja menaik taraf balai raya bermula pada 17 Oktober 2025 dan siap pada 26 Disember 2025.

Beliau berkata Kuala Pilah secara keseluruhannya menerima 12 projek Kampung Angkat MADANI sejak 2024 menerusi pelaksanaan oleh pelbagai agensi kerajaan, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan prasarana luar bandar.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap ancaman jenayah penipuan dalam talian yang semakin berleluasa.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan paparan di media sosial, khususnya taktik love scam yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau penapis wajah bagi meraih keyakinan dan memikat hati mangsa sebelum mengeksploitasi mereka dari segi kewangan.

Sehubungan itu, beliau menggesa mangsa penipuan kewangan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dalam tempoh 15 hingga 30 minit selepas transaksi dilakukan.

Tindakan pantas itu penting bagi membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank komersial mengambil langkah sewajarnya untuk menyekat pengaliran keluar wang sebelum dilarikan sindiket penipuan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *