ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Farhash, Ramanan dahului senarai penerima darjah kebesaran Kelantan

KOTA BHARU – Istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang ke-57 menyaksikan nama Datuk Seri Farhash Wafa Salvador dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan antara yang menjadi perhatian.

Farhash mengetuai senarai 779 penerima Darjah, Bintang dan Pingat bagi tahun 2026 selepas menjadi penerima tunggal Darjah Pahlawan Yang Amat Gagah Perkasa (PYGP).

Selepas beliau, Ramanan pula mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SJMK) dan menerima darjah berkenaan yang membawa gelaran Datuk.

Pengurniaan kepada Ramanan turut mencatat satu sejarah tersendiri. Beliau menjadi individu daripada komuniti India pertama dalam sejarah menerima SJMK sejak darjah kebesaran itu diperkenalkan pada 1925.

Keanggotaan bagi kelas SJMK pula dihadkan kepada 50 penerima.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat dalam kenyataannya merafak sembah serta menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Sultan Muhammad V atas perkenan pengurniaan tersebut.

Beliau menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu amanah untuk terus memperkukuh khidmat kepada Raja, rakyat dan negara.

Selain Ramanan, enam lagi penerima SJMK ialah Datuk Razali Daud, Datuk Rosnazli Amin, Datuk Daniyar Kessikbayev, Datuk Leon Emil Le’mercier, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Datuk Mohd Khidir Yaacob.

Istiadat sama turut menyaksikan beberapa pemimpin kanan pasukan keselamatan menerima darjah kebesaran negeri, termasuk bekas Panglima Angkatan Tentera Jeneral (B) Tan Sri Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Datuk Seri Pahlawan Malek Razak Sulaiman serta Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Datuk Seri Azhan Md Othman.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *