Home / Malaysia / Fahmi: Tiada Negara Mampu Tangani Cabaran Telekomunikasi Secara Bersendirian

Fahmi: Tiada Negara Mampu Tangani Cabaran Telekomunikasi Secara Bersendirian

DOHA: Negara-negara perlu memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menghadapi cabaran sektor telekomunikasi global yang semakin kompleks, memandangkan tiada sebuah negara mampu menanganinya secara bersendirian.

Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan teknologi yang begitu pantas serta kemunculan cabaran baharu yang sukar dijangka memerlukan setiap negara saling bekerjasama dan berkongsi pengalaman bagi mencari penyelesaian yang lebih berkesan.

Menurut beliau, hubungan serta jaringan kerjasama yang terjalin sepanjang Persidangan Perwakilan Penuh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) diharap dapat diteruskan menerusi lebih banyak kerjasama selepas persidangan berakhir.

“Saya percaya, untuk menyelesaikan cabaran yang kita hadapi, tiada negara mampu melakukannya secara bersendirian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis resepsi makan tengah hari anjuran Malaysia di Pusat Pameran dan Konvensyen Doha (DECC) pada Selasa.

Malaysia buru sokongan untuk Majlis ITU

Majlis berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha diplomatik Malaysia untuk mendapatkan sokongan negara anggota bagi pemilihan semula Malaysia ke Majlis ITU bagi penggal 2027 hingga 2030.

Pengundian dijadual berlangsung pada 16 November 2026.

Fahmi yang mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26 turut menegaskan komitmen negara untuk terus memperluas kerjasama antarabangsa dalam sektor digital dan telekomunikasi.

Pada masa sama, Malaysia akan terus mengekalkan pendirian berkecuali ketika berdepan landskap digital global yang semakin kompleks.

“Malaysia bersedia untuk membantu dan menyediakan ruang kerjasama. Kita sebuah negara berkecuali, percaya kepada kesalingkendalian dan yakin bahawa lebih banyak manfaat dapat dicapai melalui kerjasama,” katanya.

Menurut Fahmi, pendekatan berasaskan kerjasama antara negara penting bagi memastikan cabaran teknologi, komunikasi dan transformasi digital dapat ditangani secara lebih tersusun serta memberi manfaat bersama.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *