Dua pelajar tahfiz didakwa cederakan rakan menggunakan seterika
PARIT – Dua pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Perak Tengah berdepan pertuduhan di Mahkamah Majistret Parit selepas didakwa mencederakan seorang rakan menggunakan seterika.
Kedua-dua pelajar berusia 13 dan 14 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun menggunakan sebuah seterika, yang didakwa sebagai alat yang boleh mendatangkan kecederaan.
Kejadian itu didakwa berlaku kira-kira jam 4 petang pada 19 September lalu di sebuah maahad tahfiz al-Quran di daerah Perak Tengah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama. Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.
Kes itu mula terbongkar selepas seorang doktor membuat laporan polis pada Isnin lalu selepas merawat mangsa yang mengalami kecederaan melecur tahap kedua pada bahagian dada.
Berdasarkan keterangan mangsa, dua rakannya didakwa menekapkan seterika panas pada bahagian dadanya sehingga menyebabkan kecederaan tersebut.
Dalam prosiding hari ini, mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM500 setiap seorang. Sebutan semula kes ditetapkan pada 27 Oktober depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R. Jayasri, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Nadrah Badarudin.
Foto : BERNAMA
