Home / Malaysia / DAKWAAN WANITA MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA GUNA KERUSI URUT ADALAH PALSU

DAKWAAN WANITA MAUT TERKENA RENJATAN ELEKTRIK KETIKA GUNA KERUSI URUT ADALAH PALSU

KAJANG – Polis mengesahkan dakwaan seorang remaja perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di Kajang sebagai tidak benar.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook menerusi akaun ‘Luahan Rakyat Malaysia’ yang mendakwa kejadian itu berlaku.

Hantaran berkenaan mendakwa seorang remaja dikenali sebagai Nurul Fadhilah Hamidi meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut. Kejadian kononnya berlaku ketika mangsa sedang menunggu bapanya membeli kasut di kedai berhampiran.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada kejadian sedemikian berlaku di mana-mana pusat beli-belah sekitar daerah Kajang.

Susulan penularan hantaran itu, polis menerima satu laporan pada Rabu kira-kira jam 7.50 malam bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Menurut Naazron, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Individu yang disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233 boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan maklumat tidak benar tanpa menyemak kesahihannya sehingga mencetuskan kegusaran dan ketakutan dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau pertanyaan berkaitan kes itu diminta merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerusi talian 03-8911 4222.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *