Citrawarna Malaysia 2026 dicemuh, penggunaan AI didakwa hilangkan ‘Jiwa’ persembahan budaya
KUALA LUMPUR, 27 Julai – Penganjuran Citrawarna 2026 di Dataran Merdeka yang sepatutnya menjadi pentas meraikan kepelbagaian budaya negara bertukar menjadi topik hangat di media sosial apabila sebahagian orang ramai meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti persembahan, khususnya penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam produksi.
Menerusi tinjauan di platform seperti Facebook, Threads dan X, ramai netizen mendakwa persembahan tahun ini kehilangan elemen keaslian yang selama ini menjadi identiti Citrawarna. Kritikan paling ketara tertumpu kepada penggunaan muzik janaan AI yang didakwa terlalu dominan sehingga menenggelamkan sentuhan seni tradisional.
Antara komen yang tular menyifatkan persembahan kali ini sebagai “hilang jiwa” dan terlalu mengejar elemen moden sehingga mengorbankan nilai warisan budaya.

Sebahagian pengguna media sosial turut membandingkan Citrawarna edisi terdahulu yang dianggap lebih beremosi dan sarat dengan identiti budaya tempatan, selain menyuarakan kerinduan terhadap sentuhan komposer-komposer tempatan yang pernah mewarnai acara tersebut.
Selain isu muzik, terdapat juga kritikan terhadap penggunaan poster serta elemen visual berasaskan AI yang menurut netizen kurang memberi ruang kepada penggiat seni kreatif tempatan. Ada yang berpendapat acara bertaraf kebangsaan seharusnya menjadi platform mempamerkan hasil karya artis Malaysia, bukannya bergantung kepada kandungan janaan AI.
Bagaimanapun, di sebalik kecaman terhadap aspek teknikal, rata-rata netizen tetap memberikan pujian kepada ribuan penari serta peserta perarakan budaya yang disifatkan berjaya mempamerkan komitmen tinggi sepanjang persembahan berlangsung.
Ramai menyifatkan tenaga, disiplin dan semangat yang dipamerkan oleh para peserta menjadi kekuatan utama Citrawarna 2026 walaupun produksi keseluruhannya menerima pelbagai reaksi.
Citrawarna 2026 berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Julai di Dataran Merdeka sebagai acara utama sempena Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026). Program itu menampilkan lebih 3,500 penari dari seluruh negara, persembahan kebudayaan, makanan tradisional serta pelbagai aktiviti warisan yang dijangka menarik puluhan ribu pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Walaupun menerima kritikan daripada sebahagian warga maya, penganjuran Citrawarna 2026 tetap dilihat sebagai antara acara pelancongan budaya terbesar negara yang bertujuan memperkenalkan seni, budaya dan warisan Malaysia kepada pelancong dari dalam dan luar negara.
