Banjir Nepal: 77 Rakyat Malaysia Akan Dihantar Pulang, 55 Lagi Belum Dapat Dikesan
PUTRAJAYA – Seramai 77 rakyat Malaysia yang selamat dalam tragedi banjir lumpur di Tibet dan Nepal minggu lalu telah dibawa ke Kathmandu bagi menjalani proses repatriasi untuk kembali ke Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata perkembangan itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini berhubung keadaan rakyat Malaysia susulan bencana berkenaan.
“Menteri Luar juga memaklumkan bahawa terdapat lagi 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan.
“Mereka (77 rakyat Malaysia) sudah dibawa ke Kathmandu untuk proses repatriasi untuk kembali ke Malaysia,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata Jemaah Menteri turut mengambil maklum kelulusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyalurkan sumbangan AS$1 juta (kira-kira RM4.3 juta) bagi membantu usaha kemanusiaan di kawasan terjejas di Nepal.
Beliau berkata sumbangan itu akan digunakan bagi menyokong kerja-kerja kemanusiaan susulan bencana yang melanda negara berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan susulan banjir besar yang melanda Nepal.
Maklumat berkenaan diterima daripada agensi pelancongan dan sedang dikumpulkan serta disemak oleh Kedutaan Malaysia di Kathmandu.
