GERIK – Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar, 43, terlibat dalam kemalangan jalan raya bersama beberapa kakitangannya di kawasan Air Banun, berhampiran Tasik Banding, Gerik, awal pagi Jumaat.
Kejadian sekitar jam 2 pagi itu melibatkan Toyota Vellfire yang dinaiki beliau dengan sebuah lagi kenderaan. Menurut maklumat awal yang dikongsikan pembantunya, Mohd Amir Faizal, keadaan Ustaz Wadi dilaporkan stabil dan beliau masih sedar serta boleh bercakap ketika menerima rawatan di Hospital Gerik.
Beliau dilaporkan mengadu sakit di bahagian dada dan perut selepas kejadian. Seorang lagi ustaz yang turut menaiki kenderaan berkenaan pula mengalami kecederaan pada bahagian lutut dan dagu. Kedua-duanya dibawa menjalani pemeriksaan X-ray.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak pengurusan Ustaz Wadi memohon orang ramai mendoakan keselamatan serta kesejahteraan semua mangsa yang terlibat. Mereka turut meminta agar beliau diberikan ruang untuk berehat dan pulih.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut menitipkan doa agar urusan rawatan Ustaz Wadi dipermudahkan dan beliau segera sembuh.
Sementara itu, laporan lanjut menyebut kemalangan tersebut membabitkan tiga kenderaan dan 10 mangsa, dengan lima orang dilaporkan mengalami kecederaan. Keadaan mangsa daripada kenderaan lain turut menjadi perhatian pihak berkuasa.









