ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pihak Produksi, iQIYI Diarah Beri Penjelasan Kandungan Drama “Madu Atau Racun”

PUTRAJAYA – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan platform penstriman iQIYI petang ini bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama Madu atau Racun yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut dijangka menyertai pertemuan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya telah menerima makluman daripada Ketua Pegawai Eksekutif FINAS mengenai penayangan drama itu di platform iQIYI susulan kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat.

“Walaupun kandungan drama dan filem yang disiarkan melalui platform Over-The-Top (OTT) ketika ini tidak tertakluk secara langsung kepada pemantauan pelesenan FINAS, kementerian telah mengarahkan CMCF di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama FINAS mengadakan pertemuan dengan pihak produksi dan iQIYI petang ini.

“Pertemuan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung kandungan drama yang dimaksudkan,” katanya pada sidang media mingguan selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata FINAS mempunyai bidang kuasa kawal selia berkaitan aktiviti perfileman dan pawagam, manakala MCMC bertanggungjawab terhadap aspek penyiaran televisyen dan komunikasi.

Beliau berkata platform OTT ketika ini masih belum tertakluk sepenuhnya kepada kerangka pelesenan yang sama seperti penyiaran konvensional.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak penerbitan drama atau filem yang menyentuh sensitiviti agama dan kaum.

“Kebebasan berkarya perlu disertai tanggungjawab untuk menghormati nilai agama, keharmonian masyarakat serta sensitiviti kaum dan budaya yang menjadi asas kepada perpaduan negara,” katanya.

Fahmi berkata kerajaan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya sekiranya penilaian dan siasatan mendapati berlaku pelanggaran terhadap mana-mana garis panduan, peraturan atau ketetapan yang sedang berkuat kuasa.

Beliau berkata FINAS akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas pertemuan itu bagi memaklumkan hasil perbincangan serta tindakan susulan yang akan diambil.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan dalam kenyataan pagi ini berkata pihaknya menolak penayangan drama Madu atau Racun dan kesal dengan penerapan elemen yang menyentuh sensitiviti agama serta norma budaya tempatan, sama ada secara tersurat atau tersirat.

Madu atau Racun merupakan siri drama televisyen terbitan MIG Production Sdn Bhd yang mengandungi 12 episod dan mula ditayangkan di platform iQIYI pada 14 Ogos 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *