KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berusia 26 tahun mengalami kecederaan parah sehingga putus pergelangan tangan kanan selepas diserang seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di sebuah premis kediaman sekitar Desa Aman Puri, Kepong pada petang Rabu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam kira-kira jam 4 petang berhubung seorang lelaki yang berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak mengamuk.
Susulan laporan itu, sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) digerakkan ke lokasi bagi membantu mengawal keadaan.
Diserang ketika pintu rumah dibuka
Menurut Shazeli, ketika pintu rumah berkenaan dibuka, suspek bertindak menyerang menggunakan dua bilah parang.
Serangan itu menyebabkan seorang Lans Koperal dari Cawangan Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, mengalami kecederaan serius termasuk putus pergelangan tangan kanan serta luka pada kepala dan badan.
Beberapa anggota bomba dan petugas KKM turut dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam insiden sama.
Suspek kemudian melarikan diri dari lokasi.
Suspek dikesan di taman permainan
Polis berjaya mengesan suspek di sebuah taman permainan berhampiran kira-kira jam 8 malam.
Ketika pihak polis cuba menahannya, lelaki berkenaan sekali lagi didakwa menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang.
Shazeli berkata beberapa das tembakan kemudian dilepaskan oleh anggota polis bagi mempertahankan diri.
Suspek mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Anggota polis jalani pembedahan
Anggota polis yang cedera pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan pada tangan kanannya yang terputus.
Keadaannya dilaporkan stabil.
Rakaman kejadian turut tular di media sosial dan memaparkan detik cemas ketika anggota keselamatan berdepan dengan suspek yang bersenjatakan parang.
Siasatan lanjut mengenai kejadian itu masih dijalankan oleh pihak polis.









