KUCHING: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengesahkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang bakal menjadi pilihan raya terakhir yang ditandinginya, sekali gus membuka persoalan mengenai fasa seterusnya kepimpinan negeri selepas lebih sedekad beliau menerajui Sarawak.
Abang Johari bagaimanapun menolak dakwaan bahawa keputusan itu dibuat kerana tekanan atau desakan mana-mana pihak.
Sebaliknya, Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menjelaskan keputusan tersebut dibuat atas faktor usia.
Pengumuman berkenaan turut mendapat reaksi dalam PBB apabila Ketua Wanita parti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, secara terbuka meminta Abang Johari mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan tidak berhenti terlalu awal.
DUN Sarawak masuk persidangan terakhir
Perkembangan itu berlaku ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 memasuki fasa terakhir penggal semasa.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar mengesahkan persidangan yang berlangsung dari 12 hingga 21 Oktober 2026 merupakan sidang terakhir bagi penggal kali ini.
Antara agenda utama ialah pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 serta empat Rang Undang-Undang.
Abang Johari sendiri dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027, yang antara lain dijangka menyentuh hala tuju ekonomi negeri, kedudukan hasil Sarawak serta isu tarif elektrik.
DUN dijangka dibubar November
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah sebelum ini berkata DUN Sarawak dijangka dibubarkan pada November, kemungkinan selepas Belanjawan Sarawak 2027 diluluskan.
Bagaimanapun, tarikh rasmi pembubaran DUN dan PRN Sarawak masih belum diumumkan. Mandat DUN semasa berakhir pada Februari 2027.
Jika pembubaran berlaku seperti dijangka, PRN Sarawak akan menjadi medan terakhir Abang Johari sebagai calon pilihan raya berdasarkan kenyataannya sendiri.
Abang Johari mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri selepas pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem pada 2017 dan sejak itu menerajui pentadbiran Sarawak serta Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Pengumumannya mengenai PRN terakhir itu sekali gus meletakkan perhatian bukan sahaja kepada pilihan raya akan datang, tetapi juga kepada persoalan mengenai peralihan kepimpinan Sarawak pada masa hadapan.
Namun buat masa ini, tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai bila Abang Johari akan berundur daripada jawatan Premier atau siapa yang bakal menggantikannya.
Foto : TVS









