SHAH ALAM – Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama tiga orang awam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 96.2 kilogram (kg).
Tiga pegawai terbabit ialah Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; dan Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27.
Tiga lagi tertuduh merupakan orang awam, iaitu Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan di Foyer Ketibaan Cabang Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, kira-kira jam 6.50 petang pada 17 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, mereka boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali.
Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari 2027 sebagai tarikh sebutan semula kes. Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Kes ini turut dikaitkan dengan siasatan kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan yang dipercayai menggunakan aset ketenteraan. Sindiket berkenaan disyaki membawa dadah dari Semenanjung Malaysia ke Sabah sebelum diedarkan ke pasaran antarabangsa, termasuk Filipina dan Indonesia.
Sebelum ini, seramai 13 individu terdiri daripada tujuh pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman bersama Cawangan Provost Marshal TUDM pada 17 hingga 19 November lalu.
Daripada jumlah itu, tujuh individu yang tidak didakwa pada Jumaat akan dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Kesemua tertuduh masih berdepan pertuduhan dan belum disabitkan kesalahan.
Sumber/ Foto : Harian Metro









