KUALA LUMPUR – Permainan tradisional Dam Harimau berjaya membawa karya kreatif Malaysia ke pentas antarabangsa apabila promo ‘Negeri Sembilan Memilih’ terbitan Astro AWANI merangkul Anugerah Emas (Gold) di GEMA Asia Awards 2026.
Karya berkenaan memenangi kategori Best Use of AI in Video Promotion, hasil gabungan inspirasi permainan tradisional Dam Harimau, identiti budaya Negeri Sembilan dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan penceritaan visual sinematik.
Ketua Pasukan Reka Bentuk Astro AWANI, Abdul Hasib Jahidin menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan bermakna terhadap usaha pasukannya meneroka penggunaan teknologi AI, sambil menegaskan kreativiti manusia kekal sebagai teras utama dalam penceritaan.
Promo tersebut dihasilkan menerusi kolaborasi kreatif bersama Shariff Mukhlis Rahmatullah. Menariknya, karya itu berjaya disiapkan dalam tempoh lebih singkat berbanding kaedah produksi konvensional tanpa menjejaskan kualiti visual dan kekuatan naratif.
Dalam perkembangan sama, lagu tema ‘Sabah Memilih – Semboyan Berlagu’ turut mendapat pengiktirafan sebagai finalis kategori Best Use of AI in Audio, Voice or Sound.
Lagu berkenaan sebelum ini turut memenangi kategori Best AI Application (Audio) pada Asian Television Awards ke-31 di Ho Chi Minh City, Vietnam.
GEMA Asia Awards 2026 menghimpunkan karya daripada organisasi penyiaran dan hiburan antarabangsa termasuk CGTN, Mediacorp, Sony Pictures Networks serta Warner Bros. Discovery.
Pencapaian ini memperlihatkan potensi bakat tempatan dalam menghasilkan karya kreatif bertaraf antarabangsa melalui gabungan warisan budaya, kreativiti manusia dan teknologi baharu.
Sumber/ Foto : Astro AWANI









