KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima permohonan maaf Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan susulan penggunaan perkataan tidak sesuai ketika menyampaikan pantun dalam sidang Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, Anwar mengingatkan bahawa adab, disiplin dan tatakelakuan perlu sentiasa dipelihara dalam urusan rasmi kerajaan.
Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana anggota pentadbiran yang mengulangi pelanggaran prinsip tersebut pada masa hadapan perlu meletakkan jawatan atau dinasihatkan untuk berbuat demikian.
Menurut Anwar, perbezaan pandangan dalam kalangan anggota kerajaan boleh dibincangkan melalui saluran sewajarnya, termasuk dalam mesyuarat Jemaah Menteri, dan bukannya dibangkitkan secara tidak wajar ketika urusan rasmi kerajaan.
Ahmad sebelum ini menyampaikan pantun yang mengandungi perkataan “kencing” ketika sesi penggulungan perbahasan kementeriannya di Dewan Rakyat pada 16 November lalu. Penggunaan perkataan itu mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Harapan.
Dalam surat bertarikh 17 November, Ahmad mengakui pemilihan perkataan tersebut tidak sesuai bagi seorang anggota pentadbiran kerajaan dan memohon maaf kepada Perdana Menteri.
Anwar berkata beliau menerima permohonan maaf berkenaan, namun berharap kejadian sama tidak berulang.
Sumber/ Foto : BERNAMA









