KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan mengemukakan permohonan maaf secara rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kontroversi pantun yang dilafazkannya di Dewan Rakyat pada 16 November lalu.
Surat permohonan maaf bertarikh 17 November 2026 itu diserahkan kepada Pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri pada 18 November.
Ahmad mengakui kekhilafan dalam pemilihan katanya dan berkata pantun berkenaan tidak terdapat dalam teks penggulungan rasmi kementerian.
Menurut beliau, pantun itu dilafazkan ketika menjawab dua pertanyaan Ahli Parlimen berhubung isu pengurangan dan penghapusan tol.
Tarik balik perkataan ‘kencing’
Ahmad berkata beliau mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kata-kata tersebut dan mengesahkan perkataan “kencing” telah ditarik balik di Dewan Rakyat.
Kekecohan tercetus apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) membantah penggunaan perkataan itu dan menyifatkannya sebagai sindiran terhadap Pakatan Harapan.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor kemudian mengarahkan Ahmad menarik balik perkataan berkenaan.
Ramli pada masa sama memutuskan bahawa bahagian pantun tersebut tidak secara khusus merujuk kepada mana-mana parti.
Ahli Parlimen PH desak letak jawatan
Susulan insiden itu, beberapa Ahli Parlimen PH menggesa Ahmad meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri kerana berpandangan pantun tersebut menyindir pentadbiran Perdana Menteri.
Ahmad bagaimanapun kemudian menegaskan bahawa beliau tidak berniat menjejaskan hubungan atau kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Anwar sehingga tamat penggal dan berikrar akan terus menjalankan tugas sebagai anggota pentadbiran kerajaan dengan baik.
Tutup surat dengan pantun permohonan maaf
Dalam surat berkenaan, Ahmad turut menyampaikan pantun khas kepada Anwar sebagai tanda permohonan maaf.
Pantun itu antara lain menyampaikan hasrat beliau memohon maaf secara terus kepada Perdana Menteri.
Kontroversi berkenaan tercetus ketika perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2027 bagi Kementerian Kerja Raya, apabila isu janji penghapusan tol dibangkitkan di Dewan Rakyat.









