KUALA LUMPUR: Indonesia meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan tidak mempertandingkan beberapa acara sukan yang menjadi kekuatan negara itu pada Sukan SEA 2027 di Malaysia, termasuk beberapa acara yang turut dipertandingkan di Sukan Olimpik.
Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir mempersoalkan sama ada keputusan berkenaan selari dengan prinsip keadilan dan semangat kesukanan dalam kalangan negara Asia Tenggara.
Menurut beliau, Sukan SEA sepatutnya menjadi platform untuk memperkukuh hubungan antara negara jiran dan memberi peluang kepada atlet terbaik rantau ini untuk bersaing.
Indonesia hantar surat kepada Malaysia
Erick memaklumkan beliau sudah menghantar surat kepada Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr Mohammed Taufiq Johari, bagi mendapatkan penjelasan mengenai keputusan menggugurkan beberapa acara berkenaan.
Antara sukan yang tidak disenaraikan dalam program Sukan SEA 2027 ialah panjat dinding, mendayung, bola tampar pantai, gusti, catur, jujitsu, kickboxing, bola baling dan triatlon.
Beberapa acara badminton berpasukan lelaki dan wanita turut tidak disenaraikan.
Erick berkata beberapa negara Asia Tenggara kini mempunyai atlet bertaraf dunia dalam acara tertentu, termasuk Filipina dalam gimnastik, Thailand dalam taekwondo, Vietnam dalam menembak serta Indonesia dalam panjat dinding dan angkat berat.
Beliau berpandangan pengguguran acara yang menjadi laluan atlet rantau ini ke pentas antarabangsa boleh menjejaskan semangat persaingan serantau.
Malaysia: Pemilihan ikut proses SEAGF
Malaysia sebelum ini menegaskan pemilihan acara Sukan SEA 2027 bukan dibuat secara unilateral oleh negara tuan rumah.
Mohammed Taufiq berkata, senarai sukan dan acara ditentukan menerusi proses serta peraturan Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) dan dipersetujui negara anggota.
Beliau turut menjelaskan bahawa bukan kali pertama sesuatu acara tidak dipertandingkan apabila sesebuah negara menjadi tuan rumah Sukan SEA.
Menurutnya, Malaysia menghormati pandangan yang dikemukakan tetapi berharap semua negara terus mengutamakan semangat perpaduan ASEAN.
473 acara dalam 43 jenis sukan
Program Sukan SEA 2027 sudah dimuktamadkan dengan 473 acara melibatkan 43 jenis sukan.
Senarai itu diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAGF pada 30 Oktober lalu dengan penglibatan wakil Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan dari negara-negara Asia Tenggara.
Sebelum ini turut timbul dakwaan bahawa Indonesia mungkin mempertimbangkan untuk memboikot temasya tersebut.
Bagaimanapun, Mohammed Taufiq berkata Malaysia ketika itu belum menerima sebarang kenyataan rasmi daripada kerajaan Indonesia mengenai kemungkinan boikot.
Perkembangan terbaru menunjukkan Indonesia memilih menggunakan saluran diplomatik sukan dengan meminta penjelasan secara rasmi daripada Malaysia berhubung pemilihan acara.









