DOHA – Malaysia sedang membangunkan pelan nasional bagi peralihan kepada teknologi kriptografi pasca-kuantum (post-quantum cryptography) bagi memperkukuh keselamatan siber dan melindungi infrastruktur maklumat kritikal negara daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum pada masa hadapan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, beliau telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan kerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) serta syarikat telekomunikasi bagi membangunkan kemudahan ujian penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama.
Menurut beliau, inisiatif itu membolehkan pihak berkaitan menguji penyelesaian keselamatan secara bersama serta mempercepat peralihan kepada teknologi kriptografi tahan kuantum dalam keadaan selamat dan terselaras.
Fahmi berkata, peralihan tersebut perlu dilaksanakan secara berperingkat tanpa menjejaskan perkhidmatan penting negara. Ia juga memerlukan piawaian bersama, pengujian peralatan serta kerjasama antara kerajaan dan pemain industri.
Beliau menjelaskan bahawa migrasi kuantum merujuk kepada proses menaik taraf sistem keselamatan digital sedia ada menggunakan teknologi penyulitan yang direka untuk menghadapi potensi ancaman daripada komputer kuantum pada masa hadapan.
Kenyataan itu disampaikan ketika Fahmi membentangkan pendirian dasar Malaysia pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) di Doha, Qatar, pada 9 November lalu.
Sumber : BERNAMA









