Home / Sukan / Jadual JDT Lebih Padat Berbanding Real Madrid dan Barcelona, Harungi 18 Perlawanan Dalam Tiga Bulan

Jadual JDT Lebih Padat Berbanding Real Madrid dan Barcelona, Harungi 18 Perlawanan Dalam Tiga Bulan

KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan jadual perlawanan yang lebih padat berbanding dua kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid dan Barcelona, bagi tempoh Oktober hingga Disember tahun ini.

Berdasarkan statistik yang dikongsikan laman ASEAN Football, JDT dijadual mengharungi sebanyak 18 perlawanan dalam tempoh berkenaan, sekali gus meletakkan Harimau Selatan antara kelab dengan jadual paling sibuk.

Jumlah itu merangkumi komitmen dalam saingan Liga Malaysia, Piala Shopee dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

Sebagai perbandingan, Real Madrid dan Barcelona masing-masing dijadual beraksi sebanyak 16 perlawanan dalam tempoh sama. Jumlah tersebut turut menyamai jadual FC Porto, Benfica dan kelab Vietnam, Viettel.

Bagaimanapun, JDT bukan pasukan dengan jumlah perlawanan tertinggi dalam senarai berkenaan. Persib Bandung mendahului dengan 22 perlawanan, manakala Buriram United, Manchester City dan Liverpool masing-masing dijadual mengharungi 20 perlawanan.

Kepadatan jadual JDT turut menjadi perhatian apabila ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe sebelum ini menjelaskan keputusan tidak menyenaraikan pemain JDT bagi dua aksi persahabatan antarabangsa menentang China dan Yemen pada November.

Menurut Cheng Hoe, keputusan itu mengambil kira komitmen padat kelab berkenaan serta kepentingan memberi ruang kepada JDT untuk memberi tumpuan kepada saingan di pentas Asia.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *