KUALA LUMPUR – Seniwati terkenal, Noor Kumalasari, 70, mendedahkan pernah menolak tawaran lakonan bernilai lebih RM100,000 selepas pihak produksi meletakkan syarat supaya beliau membuka tudung untuk menjayakan sebuah drama bersiri televisyen.
Menurut Noor, keputusan itu dibuat kerana beliau tidak sanggup menggadaikan prinsip berhijab meskipun tawaran berkenaan menawarkan bayaran yang lumayan.
Beliau mengakui perjalanan untuk kekal istiqamah selepas berhijab bukan sesuatu yang mudah, namun bersyukur kerana imannya terus terpelihara.
“Tidak akan buat demi apa-apa pun kerana yakin rezeki itu datang daripada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis Tribute Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara bersama Datuk Yusof Haslam sempena Festival Filem Malaysia.
Pengalaman tersebut turut mendorong Noor berkongsi pandangan dengan seorang pelakon wanita muda yang berdepan situasi hampir sama apabila diminta membuka tudung untuk menerima sesuatu watak.
Noor menyerahkan keputusan kepada pelakon berkenaan, sambil mengingatkan bahawa wang bukan segala-galanya jika perlu mengorbankan prinsip sendiri. Pelakon itu akhirnya memilih untuk menolak tawaran tersebut.
Dalam perkembangan sama, Noor memaklumkan masih menerima tawaran berlakon sehingga kini, termasuk watak kecil yang hanya memerlukan beberapa hari penggambaran.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak lagi mempunyai keinginan untuk kembali aktif dalam industri lakonan dan lebih selesa menikmati karya drama serta filem lama.









