KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perbezaan pandangan atau pendekatan antara kementerian tidak bermaksud wujud perpecahan dalam kerajaan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan keadaan itu merupakan sebahagian daripada proses perbincangan dan pertimbangan dasar yang mengambil kira tanggungjawab, bidang kuasa serta keutamaan setiap kementerian bagi memastikan agenda Kerajaan MADANI dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurut Anwar, penyelarasan antara kementerian sentiasa dilakukan secara teratur bagi memastikan dasar kerajaan kekal selaras, mengelakkan pertindihan fungsi serta memastikan keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat, keutamaan pembangunan negara dan kemampuan kewangan kerajaan.
Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berhubung pendirian berbeza yang dikeluarkan Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) secara terbuka.
Dalam pada itu, Anwar berkata prestasi ekonomi negara terus dipantau berdasarkan data serta indikator semasa bagi menilai keberkesanan dasar kerajaan dan memperkukuh daya tahan ekonomi ketika berdepan ketidaktentuan global.
Tambah beliau, setiap dasar dan keputusan kerajaan perlu melalui proses pertimbangan serta penyelarasan sewajarnya, manakala perkara yang memerlukan keputusan bersama akan dibawa untuk persetujuan Jemaah Menteri.
Kerajaan juga akan terus memperkukuh kerjasama antara kementerian serta memantau pelaksanaan setiap inisiatif supaya keputusan yang dibuat dapat memberikan hasil nyata, mampan dan manfaat kepada rakyat.









