JAKARTA – Mahkamah Agung Indonesia membatalkan sijil pengiktirafan kelayakan pendidikan luar negara milik Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, sekali gus mencetuskan persoalan baharu mengenai kelayakannya memegang jawatan berkenaan.
Keputusan yang dibuat pada 30 Oktober lalu itu membenarkan rayuan peguam, Subhan Palal, selepas dua mahkamah pentadbiran sebelum ini menolak saman berkaitan kesahihan dokumen pendidikan Gibran.
Sijil yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Indonesia pada 2019 itu digunakan untuk mengiktiraf kelayakan pendidikan luar negaranya sebagai setaraf tamat sekolah menengah atas di Indonesia.
Dokumen berkenaan turut digunakan ketika Gibran mendaftar sebagai calon Naib Presiden bergandingan dengan Presiden Prabowo Subianto pada Pilihan Raya Presiden 2024.
Susulan keputusan itu, beberapa pihak mula mendesak Gibran supaya meletakkan jawatan. Antaranya peguam Subhan Palal yang berpendapat kedudukan Naib Presiden itu perlu dikosongkan dan pengganti baharu dipilih mengikut proses perlembagaan.
Desakan sama turut disuarakan bekas Timbalan Menteri Undang-Undang, Denny Indrayana yang menggesa Gibran berundur atas alasan perlembagaan dan moral.
Isu kelayakan pendidikan Gibran sebelum ini turut dibangkitkan di Mahkamah Perlembagaan Indonesia. Dalam keputusan pada 6 Oktober lalu, mahkamah memaklumkan tidak menemukan bukti meyakinkan bahawa Gibran memiliki diploma atau sijil pendidikan luar negara yang boleh dijadikan asas penyetaraan dengan kelulusan sekolah menengah atas.
Bagaimanapun, Mahkamah Perlembagaan ketika itu menegaskan pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk membatalkan atau melucutkan jawatan Gibran melalui prosiding berkenaan.
Setakat ini, keputusan Mahkamah Agung membatalkan sijil tersebut tidak bermakna Gibran secara automatik kehilangan jawatan Naib Presiden. Sebarang tindakan terhadap kedudukannya masih perlu melalui proses perlembagaan yang ditetapkan.









