ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) selepas menang tanpa bertanding bagi jawatan Presiden untuk penggal 2026 hingga 2030.
Keputusan itu diumumkan menerusi pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KFA sempena Kongres Tahunan KFA kali ke-51 yang berlangsung di Wisma Darul Aman, semalam.
Turut menang tanpa bertanding ialah Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan negeri, Muhamad Radhi Mat Din yang mengekalkan jawatan Timbalan Presiden.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, tiga individu dipilih iaitu Datuk Kamil Din, Datuk Zuraidi Rahim dan Datuk Syed Yussof Syed Othman.
Antara lapan individu yang terpilih sebagai Ahli Eksekutif termasuk bekas pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rozaimi Abd Rahim. Nor Syafini Chik Buang pula dipilih sebagai Ahli Eksekutif Wanita.
Mengulas hala tuju KFA bagi penggal baharu, Sanusi menegaskan setiap portfolio perlu mempunyai perancangan yang jelas, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang boleh diukur serta pelan tindakan jangka pendek dan panjang.
Beliau turut mengingatkan bahawa jawatan yang disandang bukan sekadar kedudukan, sebaliknya satu amanah untuk membawa hasil dan pencapaian kepada persatuan.
Sanusi berharap kepimpinan baharu bersama ahli gabungan dan rakan strategik dapat bekerjasama memperkukuh pengurusan KFA, termasuk pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi hingga ke tahap pertandingan berprestasi tinggi.









