SHAH ALAM – Sebanyak 37.3 tan pelbagai jenis dadah bernilai RM1.71 bilion dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor dalam satu operasi pada Isnin.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pelupusan itu melibatkan 6,526 kertas siasatan bagi kes dari 2009 hingga 2025 yang telah diselesaikan sepenuhnya.
Antara dadah yang dimusnahkan ialah 33.5 tan syabu, 714 kilogram ketamin, 104 kilogram ganja, 14 kilogram pil ekstasi, sembilan kilogram heroin, lima kilogram Erimin 5 dan satu kilogram pil kuda atau yaba. Turut dilupuskan ialah 458 liter MDMA.
Kesemua bahan berkenaan dimusnahkan di sebuah loji rawatan sisa klinikal di Kuala Langat menerusi proses pembakaran menggunakan insinerator berteknologi tinggi. Proses itu dijalankan secara terkawal bagi memastikan semua barang kes dilupuskan sepenuhnya.
Dalam perkembangan sama, Hussein memaklumkan sebanyak 45.7 tan dadah pepejal dan 60,880 liter dadah cecair bernilai kira-kira RM1.93 bilion telah dilupuskan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan nilai pelupusan tertinggi iaitu RM1.71 bilion, diikuti Sabah sebanyak RM120.4 juta dan Johor dengan RM40.02 juta.
Sementara itu, bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, JSJN merekodkan 184,732 kes dengan 205,536 tangkapan di seluruh negara.
Dalam tempoh sama, pihak polis turut merampas lebih 39.1 tan dadah pepejal, 31,176.56 liter dadah cecair serta bahan di bawah Akta Racun 1952. Keseluruhan rampasan dadah dan racun itu dianggarkan bernilai RM2.96 bilion.
Sumber : BERNAMA









