SEPANG – Pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli, mencipta pencapaian membanggakan apabila meraih petak ketiga dalam sesi kelayakan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu mencatat masa 2 minit 10.52 saat, sekali gus memastikan kedudukan di barisan hadapan bagi perlumbaan utama.
Hakim Danish hanya ketinggalan 0.133 saat di belakang pelumba Sepanyol, Maximo Quiles, yang meraih petak utama dengan catatan 2 minit 10.39 saat.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, Brian Uriarte, menduduki petak kedua dengan masa 2 minit 10.48 saat.
Hakim Danish berkata beliau gembira dengan pencapaian itu, namun mengakui masih terdapat beberapa bahagian yang perlu diperbaiki, khususnya sektor pertama dan ketiga.
Menurutnya, permulaan dari barisan hadapan amat penting untuk membolehkannya bersaing dalam kelompok pendahulu dan memburu podium di laman sendiri.
Sumber: BERNAMA / Astro AWANI









